Wednesday, April 29, 2009

Datuk Siti Nurhaliza Tarudin pertahan trofi Penyanyi Wanita Paling Popular

UNTUK mengekalkan kedudukan sebagai penyanyi wanita disukai ramai bukanlah mudah. Paling tidak, setiap kali album dikeluarkan, perlu ada lagu yang benar-benar memikat hati peminat atau pendengar. Tidak cukup dengan itu, imej dan pekerti yang baik harus juga dipertahankan. Selebihnya, mungkin faktor nasib memainkan peranan. Sekurang-kurangnya itulah kata kebanyakan artis yang sudah lama memakan garam.Bagaimanapun, wanita jelita dari Kuala Lipis ini sudah membuktikan, dia mampu melakukannya selama lebih sedekad iaitu sejak 1996. Malah sejak tahun itu sehingga hari ini, belum ada penyanyi wanita yang mampu menggugat kedudukan istimewanya dalam dunia seni. Ramai juga penyanyi wanita lain yang dikatakan bakal menjadi pengganti, tetapi wanita bernama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ini kekal berkuasa di persada seni.Bukan di kalangan penyanyi wanita saja namanya dijulang, bahkan penyanyi ini pernah menguasai kedua-dua dunia lelaki dan wanita buat beberapa lama sehingga kehadiran bintang Akademi Fantasia, Mawi. Sejak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1996 sehingga ABPBH 2001, Siti menjulang trofi Bintang Popular sebanyak lima kali. Dia sekali lagi merampas kedudukan itu daripada Rosyam Nor (ABPBH 2002) dan Saiful Apek (ABPBH 2003) pada ABPBH 2004.Tentunya pencapaian yang bukan kecil untuk seseorang artis mengungguli takhta Bintang Paling Popular sebanyak enam kali. Sehingga kini, dalam sejarah 21 kali penganjuran ABPBH, hanya wanita bersuara lunak ini yang berupaya melakukannya.Bukan sekadar itu saja, kerana beliau turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjulang trofi Penyanyi Wanita Paling Popular selama 11 tahun berturut-turut. Sejak ABPBH 1996, dia belum pernah melepaskan trofi itu ke tangan penyanyi wanita lain.Tahun ini, mampukah penyanyi yang baru saja muncul dengan album Lentera Timur itu mengekalkan anugerah yang sama apabila pencabar baru seperti Stacy, Mila dan Elyana turut bersaing?Siti sendiri, seperti tahun-tahun sebelumnya, tidak pernah meletakkan harapan yang menggunung setiap kali namanya dicalonkan ke peringkat akhir anugerah itu, yang menyerahkan kuasa ke tangan peminat sepenuhnya."Menerusi ABPBH, peminat diberi peluang sepenuhnya untuk memilih artis popular kesukaan mereka. Begitupun, peminat hari ini amat bijak kerana mereka tidak memilih begitu saja."Apa saja pilihan dilakukan, ia berteraskan hasil kerja kita sepanjang tahun berkenaan.Lalu, sebagai penyanyi bertanggungjawab, kita harus sentiasa ada keinginan untuk terus memantapkan kerjaya, bukan hanya untuk peminat malah untuk kebaikan industri seni itu," ujar Siti.Siti tidak lupa untuk berterima kasih kepada peminat yang nyata tidak henti-henti menghulurkan sokongan padu kepada dirinya, dalam apa juga situasi yang dihadapi."Peminat tidak perlu risau seandainya rezeki tidak menyebelahi Siti pada kali ini. Perkara paling penting ialah Siti akan terus memberikan sumbangan dalam dunia seni," kata penyanyi Di Taman Teman ini.Pada acara kemuncak ABPBH 2008 yang akan berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands, Ahad ini, tentunya Siti akan menaiki pentas utama di hadapan ribuan peminat yang dijangka memenuhi arena. Untuk mengatakan dia menaiki pentas menerima trofi, pasti masih terlalu awal. Yang pasti, Siti akan berada di atas pentas untuk menghiburkan penonton dengan persembahannya.Selain Siti, bakal menggegarkan Arena of Stars dengan persembahan mereka ialah Anita Sarawak, Jamal Abdillah, Faizal Tahir, kumpulan Kristal, Hujan, Aizat, Siti Sarah, Stacy, Farah Asyikin, Diddy, Ayu Damit, L Ramlee, Datuk Jeffrydin dan Datuk A Rahman Hassan.

Bertuahnya buat baju untuk Siti

ABPBH 2008 adalah tahun ketiga bagi dua rakan ini, Rizman dan Ruzaini bekerjasama dengan penyanyi wanita popular, Siti Nurhaliza. Kali pertama mereka pada acara Anugerah Industri Muzik dua tahun lalu.Ketika itu, Rizman Ruzaini masih menuntut di tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam."Ini adalah kali pertama kami berpeluang mereka baju buat Datuk Siti Nurhaliza untuk ABPBH. Impian itu sudah lama tersimpan dan akhirnya hasrat kami dimakbulkan juga," katanya.Menurutnya, walaupun memiliki nama besar, bekerjasama dengan penyanyi itu sebenarnya cukup mudah."Kelebihan Siti ialah sikapnya yang tidak cerewet membuatkan kami berasa selesa. Dia seorang yang senang menerima pendapat pereka tetapi jika ada idea sendiri, Siti akan beritahu."Cuma tahun ini kami terpaksa membuat ukuran baru kerana tubuh Siti sangat kurus," kata Rizman yang memilih rekaan klasik Inggeris, namun turut diselitkan elemen tradisional.Sempena ABPBH 2008 yang bertemakan Sentuhan Tenun, Rizman memilih fabrik sifon yang digabungkan bersama songket daripada Wan Manang.Sementara itu, fabrik rona lavender menjadi pilihan untuk Siti Nurhaliza kerana kelembutan warna itu yang jarang menjadi pilihan selebriti untuk ke acara anugerah.Menurut Rizman, bagi mengangkat khazanah songket yang menjadi warisan budaya masyarakat Melayu, fabrik berkenaan akan digunakan pada bahagian atas baju.Oleh kerana Siti memiliki potongan badan wanita Melayu biasa, rekaan tidak boleh keterlaluan supaya gaya Siti tidak kelihatan pelik pada majlis itu nanti.Sementara itu, bagi rekaan untuk adik penyanyi tersohor itu, Rizman memilih gaun petang daripada warna biru firus. Sentuhan tenun pula direalisasikan pada bahagian pinggang gaun berkenaan.

No comments:

Post a Comment